Keistimewaan Memeluk Islam
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a :” Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:” Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”
(al-Bukahri)
Huraian
Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf. Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka. Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.
Sayang Menyayangi
Diriwayatkan daripada Anas r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”
(al-Bukhari)
Huraian
Adakah kita saling sayang menyayangi sesama kita? Adakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin. Adakah kita sayangkan saudara kita sepertimana kita sayangi diri kita sendiri? Adakah kita tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita sendiri tidak mahu hidup menderita? Tepuk dada tanya iman kerana kesempurnaan iman itu dikaitkan dengan sifat saling sayang menyayangi. Rasa bersama dan menyatakannya melalui ungkapan dan reaksi gerak badan memang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Contohnya memberikan hadiah walaupun kecil dan sentiasa berterima kasih, ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka. Kita tidak perlu meraikan Valentine Day semata-mata untuk menyatakan rasa kasih kita pada seseorang kerana Islam menggalakkan umatnya agar kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. Bahkan jika kita tidak bertegur sapa sesama saudara Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya telah menjadi haram. Justeru budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik. Berkasih sayang dalam Islam tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia.
Menjaga Hati
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”
Bukhari dan Muslim