Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW adalah sebuah rentetan sejarah hidup yang panjang yang mengandungi pelbagai pengajaran dan pendoman untuk umat Islam. Sejarah kehidupan atau sirah baginda Rasulullah SAW dihiasi dengan kisah perjuangan yang tidak mengenal erti jemu, sebuah hakikat pengorbanan yang sangat tinggi, pergantungan dan kepasrahan sepenuhnya kepada Allah SWT, dan contoh panduan yang hidup untuk dijadikan ikutan sepanjang zaman.
Inilah ketetapan dan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, bahawa segala apa yang dialami oleh Rasulullah SAW adalah contoh panduan kepada umat Islam. Keperibadian dan kehidupan baginda umpama “manual” panduan untuk dilihat dan dijadikan contoh oleh seluruh manusia dan seharusnya kita fahami bahawa baginda Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh dan ikutan.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.”
( Al- Ahzab : 21)
Rasulullah SAW telah berjaya membina satu ketamadunan yang hebat dan gemilang. Di dalam buku yang ditulis oleh seorang penulis barat iaitu Michael H. Hart, beliau telah meletakkan Nabi Muhammad SAW di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, malah ia mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri.
Bukunya The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History, menyatakan bahawa satu faktor yang menyebabkan Nabi Muhammad SAW menjadi insan berpengaruh adalah kerana kualiti yang ada pada diri baginda. Kualiti yang dimaksudkan ialah kualiti integriti dan kualiti kompetensi. Inilah yang menjadikan kehidupan baginda sangat signifikan kepada manusia lain terutamanya kepada para sahabat di bawah didikan Baginda.
Di dalam Islam, kualiti ini kita namakan ia sebagai akhlakul karimah atau budi pekerti yang mulia. Bermula dari kualiti ini akhirnya Rasulullah SAW berjaya membentuk dan membina satu tamadun yang sangat gemilang dan dihormati seantero dunia. Sudah pasti terdapat satu rahsia yang perlu dilihat secara terperinci terhadap proses pembentukan ketamadunan Islam yang diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW kerana di dalam hanya masa yang singkat iaitu 23 tahun, Baginda berjaya mengasaskan dan membentuk satu ketamadunan yang mampu bertahan selama 1400 tahun!
Justeru itu, melihat dan meneliti sejarah perjuangan Rasulullah SAW adalah menjadi keutamaan kita di dalam menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan murrabi di dalam perjuangan menegakan Islam.