Saturday, 18 February 2012

Sunnah Rasulullah S.A.W Ketika Berwuduk




1. Membaca Bismillahirrahmanirrahim بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


2. Membasuh tangan hingga pergelangan sebanyak 3kali pada permulaan wuduk.


3. Memulakan wuduk dengan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung sebelum membasuh muka.


4. Menghembuskan air yang dimasukkan ke hidung dengan tangan kiri (memegang hidung dengan tangan kiri). Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W.:


"Ketika ingin mengambil wuduk Rasulullah S.A.W. membasuhkan kedua-dua tapak tangannya kemudian beliau berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung lalu menghembuskannya kemudian beliau membasuh mukanya sebanyak tiga kali"  (Muttafaqun 'Alaih)


5. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan kecuali bagi orang yang berpuasa. Ini adalah berdasakan hadis Rasulullah S.A.W:


"Lebihkan semasa menyedut air ke dalam hidung kecuali ketika anda berpuasa"
(Direkodkan oleh Bukhari,Muslim, An-Nasaie dan Ibn Majah)


Maksud berlebihan semasa berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung adalah memasukkan air sedalam-dalamnya ke dalam hidung hingga ke pangkal, kemudian menghembuskannya semula.


6.Berkumur-kumur menggunakan satu telapak tangan sahaja, maksudnya berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dari pada tadahan air dari satu tapak tangan sahaja.



7. Bersugi ketika berkumur-kumur, ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W:


"Jika tidak menjadi keberkatan kepada umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak(bersugi) setiap kali ingin mengambil wuduk"


8. Menyelati janggut yang tebal dengan memasukkan jari-jari tangan ke dalam janggut ketika membasuh muka. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W:


"Rasulullah S.A.W. memasukkan jari jemari tangannya ke dalam janggutnya ketika berwuduk" (Direkodkan oleh Tirmizi)


9. Sunnah Rasulullah S.A.W ketika menyapu kepala:


Rasulullah S.A.W menyapu kepala dengan memulakan menyapu di bahagian depan kepala dengan hujung tapak tangan beliau kemudian diseretkan dengan menyapu hingga ke tengkuk kemudian beliau berpatah balik menyapu hingga ke bahagian depan kepala.


Basuh yang wajib adalah meratakan air ke kepala dengan apa cara sekalipun.


"Rasulullah S.A.W. menyapu kepalanya, beliau menyapu dari hadapan ke belakang kemudian kembali dari belakang ke hadapan." (Muttafaqun 'Alaih)


10. Menyelati jari-jemari tangan dan kaki. Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.:


"Sempurnakan wuduk dan memasukkan jari-jemari tangan antara satu sama lain"
(DiRekod oleh Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Abu Daud)


11. Membasuh anggota kanan terlebih dahulu pada anggota tangan dan kaki


"Rasulullah S.A.W. sungguh indah dalam memulakan anggota kanan ketika memakai kasut dan bersuci." (Muttafaqun 'Alaih)


12. Membasuh anggota wuduk sebanyak tiga kali ketika membasuh muka, tangan dan kaki.


13. Mengucapkan dua kalimah syahadah selepas selesai berwuduk.


اشْهَدُ انْ لّآ اِلهَ اِلَّا اللّهُ وَحْدَه لَا شَرِيْكَ لَه، وَ اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدً اعَبْدُهوَرَسُولُه
"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang esa tiada sekutu baginya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruhNya"


Kelebihan membaca doa ini sebagaimana disebutkan di dalam hadis beliau Rasulullah:


"Akan dibuka pintu-pintu syurga kepada pembacanya dan ia boleh memasuki syurga melalui mana-mana lapan pintu syurga yang dia mahu:".
(Petikan hadis direkodkan oleh Muslim)


14. Mengambil wuduk di rumah.
Kata Rasulullah S.A.W:


"sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudia ia berjalan menuju ke salah satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk menunaikan solat fardu, setiap langkah kakinya akan dihapuskan satu dosanya dan langkah yag satu lagi akan diangkat baginya satu darjat."
(Direkodkan oleh Muslim)


15. Menggosok anggota wuduk dengan tangan.


16. Berjimat dalam penggunaan air


"Rasulullah S.A.W. berwuduk dengan menggunakan air kadar secupak"
(Muttafaqun Alaih)


17. Melampaui membasuh anggota tangan dan kaki dari kawasan yang wajib di basuh. Abu Hurairah melakonkan semula cara bagaimana Rasulullah berwuduk dengan menunjuk cara berikut:


"Abu Hurairah berwuduk dengan membasuh seluruh tangannya hingga ke kawasan lengan (melampaui siku), dan membasuh kakinya hingga melebihi betis, kemudian beliau berkata, 'Beginilah saya melihat cara Rasulullah berwuduk."
(Petikan dan sebahagian dari hadis direkodkan oleh Muslim)


18. Solat dua rakaat selepas wuduk.


"Sesiapa yang berwuduk sepertimana wudukku mini kemudian dia solat dua rakaat tanpa terlintas urusan dunia ketika solat, akan diampunkan dosanya yang telah lalu".
(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)


Di dalam hadis yang direkodkan oleh Imam Muslim melalui sanad 'Uqbah bin 'Umar, terdapat tambahan lafaz ini pada akhir hadis:


"Maka wajiblah ke atasnya syurga"


19. Membasuh anggota wuduk dengan sempurna. Seorang Muslim berwuduk sebanyak lima kali atau lebih dalam masa satu hari. Adakalanya mereka berwuduk ketika ingin menunaikan solat Dhuha atau melaksanakan qiamullail. Setiap kali mengambil wuduk seorang Muslim akan melakukan sunnah-sunnah ini yang memberikan ganjaran pahala yang banyak.


Orang yang sentiasa mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W ini ketika berwuduk akan termasuk di dalam golongan yang dinyatakan di dalam hadis beliau:


"Sesiapa yang berwuduk dan memperelokkan wuduknya nescaya akan gugur dosa-dosanya dari jasadnya sehingga gugur juga dosa-dosa dari celah-celah kukunya"
(Direkodkan oleh Muslim)

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...