Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Orang laki-laki yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang keras kepala lagi suka bertengkar.” (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa ada dua sifat manusia yang paling dibenci oleh Allah SWT iaitu :
Pertama : Keras kepala
Kedua : Suka bertengkar.
Huraiannya :
Pertama : Keras kepala.
Penyakit keras kepala atau degil adalah sifat iblis laknatullah.
Iblis merasa dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. kerana dia diciptakan daripada api sedangkan Adam diciptakan daripada tanah. Iblis keras kepala tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT dan dia tetap berdegil dengan pendapatnya sendiri dan tidak mematuhi arahan Allah SWT. Sifat keras kepala ini sebenarnya beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego.
Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan sifat-sifat ini adalah sifat penghuni neraka.
Allah SWT berfirman yang bermaksudnya : “(Iblis) menjawab, Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku selalu menghalangi mereka daripada jalanMu yang lurus. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”
(Surah al-A’raf ayat 16-17)