Tuesday, 10 July 2012

Dua Sifat di Benci Allah Keras Kepala dan Suka Bertengkar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Orang laki-laki yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang keras kepala lagi suka bertengkar.” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa ada dua sifat manusia yang paling dibenci oleh Allah SWT iaitu :

Pertama : Keras kepala

Kedua : Suka bertengkar.

Huraiannya :

Pertama : Keras kepala.

Penyakit keras kepala atau degil adalah sifat iblis laknatullah.

Iblis merasa dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. kerana dia diciptakan daripada api sedangkan Adam diciptakan daripada tanah. Iblis keras kepala tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT dan dia tetap berdegil dengan pendapatnya sendiri dan tidak mematuhi arahan Allah SWT. Sifat keras kepala ini sebenarnya beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego.

Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan sifat-sifat ini adalah sifat penghuni neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksudnya : “(Iblis) menjawab, Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku selalu menghalangi mereka daripada jalanMu yang lurus. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”
(Surah al-A’raf ayat 16-17)


Ini menunjukkan bahawa kekufuran iblis bukanlah kerana kejahilan bahkan kekufurannya kerana keras kepala dan sombong.

Sabda Nabi SAW maksudnya: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (Hadis Riwayat Muslim)

Jika kita lihat di dalam masyarakat kita adakah kita bertemu dengan orang yang bersifat keras kepala? Ya, kita akan bertemu dengan ramai manusia yang bersifat keras kepala, degil , ego dan sombong.

Sifat keras kepala ini salah satu sifat mazmumah yang membawa dosa besar selepas kufur. Bahkan dari keras kepala, seseorang itu boleh jadi kufur apabila ego dan kesombongannya itu sudah besar. Dari sifat ini melahirkan lebih banyak mazmumah-mazmumah yang lain. Dari satu mazmumah, beranak-anak mazmumah yang lain. Seolah-olah sifat keras kepala itu bukan buah lagi tetapi ia adalah pokok kejahatan dalam hati manusia, yang akan melahirkan buah-buah kejahatan, yang berduri, kelat dan beracun. Dari sini akan melahirkan sifat pemarah, dendam dan susah terima kebenaran. Dari situ juga melahirkan kezaliman sesama manusia. Sudah berapa banyak sifat yang dilahirkan oleh keras kepala yang bukan sahaja merosakkan dirinya bahkan mengharu-birukan kehidupan, memecahbelahkan rumah tangga, masyarakat, antara etnik dengan etnik, bangsa dengan bangsa dan akhirnya mencetuskan peperangan.

Biasanya orang yang keras kepala adalah terdiri daripada orang-orang kaya, golongan bangsawan, hartawan dan pemimpin masyarakat. Setiap para Rasul yang telah diutuskan kepada kaumnya, majoriti yang menolak dakwah para rasul adalah terdiri daripada mereka yang menjadi penguasa  dan pemimpin masyarakat dan mereka terdiri daripada golongan hartawan dan bangsawan, sedangkan yang menjadi pengikut setia para rasul adalah golongan miskin yang sentiasa ditindas.

Pintu hati orang yang keras kepala telah tertutup untuk menerima kebenaran. Jika diminta untuk beriman kepada Allah SWT mereka enggan beriman, begitu juga jika diminta berhukum dengan hukum-hukum Allah SWT, mereka memberi macam-macam alasan .

Contoh alasannya sekarang zaman moden mereka mengatakan hukum-hukum Allah SWT tidak sesuai dengan masyarakat majmuk, jika hukum rejam dijalankan keatas orang yang berzina maka akan habis batu-batu JKR untuk membuat jalan raya, jika hukum potong tangan dijalankan maka umat Islam akan dipandang hina oleh agama lain disebabkan ramai tangan-tangan umat Islam kodong kerana telah dipotong tangan kerana mencuri. Nauzubillahiminzalik! ini sebenarnya jawapan orang-orang fasik dan munafik dan mereka kufur dengan ayat-ayat Allah SWT, kerana mempermain-mainkan hukum-hukum Allah SWT seolah-olah Dia telah berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.Hukum-hukum Islam adalah hukum yang paling sesuai di zaman mana sekali pun sehingga kehari kiamat, hanya perlaksanaannya sahaja perlu kepada masa dan peringkat demi peringkat.

Dalam surah Nuh jelas menunjukkan bahawa orang yang keras kepala tetap tidak mahu beriman walaupun Nabi Nuh a.s berdakwah siang dan malam hampir 1000 tahun.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan sesungguhnya aku setiap kali menyeru mereka (untuk beriman) agar Engkau mengampunkan mereka, mereka memasukkan anak jarinya ketelinganya dan menutupkan bajunya (kewajahnya) dan mereka tetap (mengingkari) dan sangat menyombongkan diri." (Surah Nuh ayat 7)

Nabi Nuh a.s telah habis kesabaran lalu berdoa kepada Allah SWT agar Dia menurunkan azab-Nya di atas kaumnya yang keras kepala seraya berseru:"Ya Allah! Janganlah Engkau biarkan seorang pun daripada orang-orang kafir itu hidup dan tinggal di atas bumi ini. Mereka akan berusaha menyesatkan hamba-hamba-Mu, jika Engkau biarkan mereka tinggal dan mereka tidak akan melahirkan dan menurunkan selain anak-anak yang berbuat maksiat dan anak-anak yang kafir seperti mereka." (Surah Nuh ayat 26-27)

Doa Nabi Nuh dikalbulkan oleh Allah SWT dan permohonannya diluluskan dan tidak perlu lagi menghiraukan dan mempersoalkan kaumnya, kerana mereka itu akan menerima hukuman Allah dengan mati tenggelam di dalam banjir besar yang diturunkan oleh Allah SWT.

Kedua : Suka bertengkar.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud ; "Mahukah kamu semua aku beritahu( sifat-sifat) ahli syurga? Para sahabat menjawab. "Ya", baginda bersabda," Setiap orang lemah dilemahkan, andainya dia meminta kepada Allah, nescaya Allah mengkabulkannya. Mahukah aku beritahu (sifat-sifat) ahli neraka? Setiap orang yang suka bertengkar dengan kasar ('utul) , berlagak (jawwaz) dan sangat sombong (mustakbir) (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Orang yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri (menegakkan benang yang basah) adalah orang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Sifat ini berlaku disebabkan hatinya sakit dan keras disebabkan dosa-dosa yang menutup pintu hati. Bila melakukan maksiat sudah tidak terasa bahawa maksiat itu adalah perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Jangan terlalu banyak berbicara selain menyebut Allah. Sebab mereka yang banyak berbicara selain menyebut Allah akan mengeraskan hati. Sesungguhnya manusia yang paling jauh daripada Allah ialah pemilik hati yang keras." (Hadis Riwayat Tirmizi daripada Ibnu Umar)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri kita daripada sifat keras kepala dan suka bertengkar kerana kedua-dua sifat ini sangat dibenci oleh Allah SWT. Jika Allah SWT membenci sifat-sifat ini maka Dia tidak akan memberi taufik dan hidayah dan rahmat-Nya kepada sesiapa yang memiliki sifat-sifat ini. Wujudnya kedua-dua sifat ini adalah tanda hati seseorang sedang sakit, keras dan mati.




No comments:

Post a Comment

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...