Monday 2 July 2012

Fadhilat Bulan Syaaban


Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Bulan Syaaban dianggap merupakan bulan yang baik untuk kita meminta keampunan daripada ALLAH, serta memperbaiki diri dari segala macam cela. Dan bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan ALLAH Taala ke atas makhlukNya.”

-Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh ALLAH dengan 700 kali ganda

-ALLAH akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambanya.

-Orang-orang yang tidak diampunkan oleh ALLAH pada malam nifsu Syaaban ialah mereka yang menyekutukan ALLAH dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka terhadap ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali silaturrahim.


AMALAN YANG WAJAR DILAKSANAKAN DALAM BULAN SYAABAN.

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam di anjurkan pelbagai ibadah antaranya,

Memperbanyakkan puasa sunat dan qiyamullail:

Inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah S.A.W pada bulan yang mulia ini. Rasulullah S.A.W memperbanyakkan ibadah puasa sunat pada 15 terakhir bulan Syaaban. Ambillah peluang ini untuk membiasakan diri kita dengan ibadah puasa supaya tidak menjadi keberatan apabila tibanya bulan Ramadhan kelak. 

Melakukan Solat tahajjud dan solat sunat taubat amatlah ditekankan terutama pada malam Nisfu Syaaban. Inilah masa yang sesuai untuk diperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan dari Allah S.W.T.


Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud: 
“Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya ALLAH S.W.T turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman,“Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana adakah di sana? sehingga terbit fajar.”
(Riwayat ibn Majah)

i. Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Dalam Kitab Durratun Nasihin dinyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: 
“ Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari pertengahannya dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”

ii. Jika berpuasa sehari dalam bulan Syaaban akan diharamkan tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan Nabi Yusof di dalam syurga. Diberi pahala seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud.

iii Jika berpuasa sebulan pada bulan Syaaban, dipermudahkan ALLAH kepadanya Sakaratulmaut dan ditolaknya (terlepas) daripada kegelapan dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.

iv. Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis (juga dalam Syaaban) dimasukkannya dalam syurga .
(Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah.)

v. Rasulullah S.A.W turut bersabda yang bermaksud:
“ Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban.” 

Perbanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W:

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada ALLAH, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka ALLAH S.W.T akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.”
(Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin) 

Bertaubat:

Bulan Syaaban merupakan bulan untuk kita memperbanyakkan taubat kepada ALLAH S.W.T.
Sangat digalakkan untuk mempernyak bertaubat pada bulan ini. Ini bagi memperbaiki diri dari segala cela, agar bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: 

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:
“Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani) (Al-Hadis)


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...