Tuesday 3 July 2012

Malam Nisfu Sya'aban


Di dalam bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang penuh rahmat, iaitu Malam Nisfu Syaaban. Pada malam ke-15 bulan Syaaban ini, doa menjadi sangat mustajab.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu.”

Umat Islam disarankan untuk menghidupkan malam ini dengan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib.

-Bacaan pertama diniatkan mohon panjangkan umur dalam mentaati ALLAH, kemudian dibaca doa-doanya.

-Bacaan kali keduanya dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu dibacakan doa-doanya.

-Kemudian, bacaan ketiga pula serta diniatkan minta ditetapkan iman dan mati dalam iman, kemudian dibacakan doa-doanya.

Namun jangan lupa agar kita membaca dengan penuh tenang dan tidak terkejar-kejar.


Pada malam Nisfu Syaaban, telah datang Jibril kepada Rasulullah S.A.W lalu katanya:
“Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan ALLAH padanya tiga ratus pintu rahmat dan diampunkan ALLAH sekalian orang yang tiada menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina, kekal minum arak, durhaka terhadap ibubapa.”
(Al-Hadis)

Memperkukuhkan tali silaturrahim sesama manusia: 

Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ianya bersangkutan dengan hubungan manusia dengan ALLAH S.W.T. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana ALLAH S.W.T tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka saling bermaafan. Sucikan diri dari perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadhan supaya amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya.

Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan:

Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. Beristiqamah membawa maksud sentiasa melakukan amal ibadah tersebut tiap-tiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya.

Memperbanyakkan memohon keampunan daripada ALLAH S.W.T: 

Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa yang dilakukannya saban waktu. Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa-dosa kecil yang datang dari perbuatan manusia samada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titi-titik hitam di dalam hati yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh dari petunjuk ALLAH S.W.T. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun daripada ALLAH S.W.T kerana selagi pintu keampunan itu terbuka.
ALLAH S.W.T berfirman di dalam Surah Huud ayat 3:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya; supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik hingga ke suatu masa yang tertentu, dan Ia akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar.”

Pada malam ini umat Islam sangat-sangat disarankan untuk memanfaatkannya kerana malam ini penuh dengan rahmat dan doa sangat mustajab.

Justeru, umat Islam disaran untuk menghidupkan malam ini dengan membaca surah Yassin sebanyak tiga kali selepas solat maghrib. Kelebihan malam nifsu Syaaban pula ialah sesiapa yang bangun mendirikan solat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca Al Quran dan sebagainya maka ALLAH akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.

Semoga hari ini lebih baik dari hari semalam, dan lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Semoga amal kita semua diterima, dan semoga kita beroleh naungan redha dan maghfirah-NYA... Amiin...

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...